Tips Membina Keluarga Bahagia

1:12 PM

Assalamualaikum w.b.t,

Bacaan Ringkas di hari Jumaat.

‎10 TIPS UTAMA DALAM MEMBINA KELUARGA BAHAGIA

1. Melaksanakan syariat Islam dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan ahli keluarga dan berakhlak mulia. Kata-kata yang baik dan penghargaan mesti menjadi amalan harian seisi keluarga.

2. Memupuk dan mempamerkan kasih sayang tanpa syarat. Era telekomunikasi sekarang seharusnya digunakan semaksima mungkin... untuk berkomunikasi dan menyatakan sayang sesama ahli keluarga. Kanak-kanak sebagai contohnya lebih gemar dan ghairah berbual melaui telefon, manakala pasangan suami isteri mungkin lebih mudah menyatakan sayang melalui SMS.

3. Sentiasa peka pada perasaan ahli kelurga dan bertanya tentang perasaan mereka. Elakkan diri daripada membuat andaian tentang sesuatu keadaan, malah keraplah bertanya tentang perasaan secara peribadi.

4. Memahami gender dan tahap umur ahli keluarga; contohnya kanak-kanak, remaja dan warga tua. Ini akan membantu kita menjadi lebih peka pada perubahan-perubahan yang berlaku yang dilalui oleh ahli keluarga dan menghormati mereka secara hikmah.

5. Berkongsi masalah dengan ahli keluarga. Masalah akan menjadi lebih terurai dan kecil bila diceritakan kepada ahli keluarga yang memahami dan menjadi pendengar yang baik, bersikap terbuka, memberi nasihat dan sokongan kepada alternatif lain yang boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi. Galakkan anak-anak memberi pandangan dan meluahkan perasaan mereka sejak kecil kerana ini menyebabkan mereka mempercayai kita ahli keluarga dan memudahkan mereka menyuarakan masalah mereka. Ahli keluarga pula secara total memberi bantuan dan sokongan untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sebaik dan secepat mungkin.

6. Mencintai ilmu dan sentiasa menimba ilmu dan berusaha untuk kemajuan diri. Ilmu yang baik terutama ilmu agama haruslah sentiasa diterapkan agar ianya menjadi perisai keburukan dan insentif kepada kebaikan. Setiap ahli hendaklah sentiasa menyokong kemajuan ahli yang lain dalam pelbagai bidang seperti pelajaran, sukan, kerjaya mahupun dakwah.

7. Amalan berbincang, bermuhabah dan tegur menegur antara ahli keluarga dapat membantu membentuk peribadi yang mulia.

8. Lakukan aktiviti-aktiviti masa berkualiti bersama ahli keluarga seperti bergurau, bercerita dan bersukan bersama seperti bermain badminton, congkak, atau pun sekali-sekala boleh berriadhah di pantai, melawat tempat-tempat menarik dan sebagainya. Aktiviti sebegini boleh menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa lebih-lebih lagi anda sentiasa menghadapi kehidupan seharian yang serba cepat dan menekan.

9. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Bantu membantu dalam amalan seharian rumahtangga amat diperlukan. Jadi setiap ahli bertanggungjawab dengan rutin seharian seperti membasuh pinggan sendiri selepas makan, mengemaskan bilik masing-masing dan membantu ibubapa dimana perlu. Dengan kata lain, pastikan setiap ahli keluarga berfungsi agar tidak ada pihak yang tertekan atau terbeban dengan kerja yang tidak sepatutnya dibuat mereka.

10. Sentiasa mengaktifkan diri dengan aktiviti-aktiviti sihat bersama jiran dan masyarakat setempat seperti bergotong-royong membersihkan kawasan, melibatkan diri dalam sesuatu majlis seperti perkahwinan dan juga aktiviti riadah seperti bersukan. Galakkan juga anak-anak membantu bersama. Ahli keluarga berusaha menjadi pemimpin dalam masyarakat mampu mengubah masyarakat di sekeliling mereka.

Semoga tip-tip tersebut dapat menjadi pedoman dan membentuk kita menjadi lebih peka tentang tanggunjawab masing-masing. Wallahu a'lam...





You Might Also Like

0 baby's note!

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images