Jatuh Cinta? Mampukah..

9:38 AM

Assalamualaikum w.b.t,

Took from Metro yesterday,...



Mampukah kita membuatkan diri sendiri bahagia? Kebahagiaan sama ada dalam kerjaya dan kehidupan peribadi sering dianggap perkara yang sukar dicapai dalam erti kata sebenar.
Kala keperluan asas fizikal seperti makanan, tempat tinggal dan keselesaan diperoleh, ia ditakrifkan sebagai kebahagiaan hidup. Namun, muncul pula cabaran yang sering membuatkan kita berpaling atau tercicir daripada aspek kebahagiaan itu. 
Diri kemudiannya mencari banyak perkara yang dipercayai dapat memberikan ketenangan atau kebahagiaan emosi. Mungkin kita mampu mendapatkan apa yang dihajati. Karier menarik tapi akhirnya membawa kepada kekecewaan dan diri yang terbeban.

Setiap insan pernah dan mungkin merasakannya ketika ini. Selain penat memikirkan hubungan sesama individu lain, karier juga disifatkan antara punca tertinggi menyebab­kan tekanan dalam hidup manusia.

Banyak kajian negara maju menunjukkan tekanan kerja berada di tangga teratas dan sumber utama tekanan bagi golongan dewasa. Di Amerika Syarikat saja, peratusan individu yang membunuh diri akibat kecewa dengan suasana di tempat kerja meningkat secara mendadak sejak lima tahun kebelakangan ini.

Peningkatan tahap tekanan kerja ini juga menunjukkan ia saling berkait dengan peningkatan kadar serangan jantung, tekanan darah tinggi dan gangguan lain.

Pakar psikologi sering menyarankan kita perlu memberi perhatian kepada keperluan minda dan fizikal atau dalam erti kata lain, menyayangi diri sendiri.
Menjaga diet dan melakukan senaman saja tidak cukup sebagai tanda sayang kepada diri sendiri. Individu yang hidupnya gembira biasanya dikatakan jarang memikirkan masalah terutama di tempat kerja.

Justeru, fizikal dan mental dapat bertenang dan berfungsi dengan baik apabil diri mula menerima atau berjaya menanggani masalah di tempat kerja.

Persoalannya, bagaimana kita dapat kembali mencintai diri menerusi karier yang kita lakukan ketika ini?

Ketika baru memulakan kerjaya, kita pasti rasa teruja dan tidak sabar menerima tugasan. Kita juga tidak sabar untuk ke tempat kerja pada setiap pagi dan rasa puas hati apabila berjaya melaksanakan satu-satu tugasan.

Namun di pertengahan jalan, hubungan kita dengan kerjaya mula hilang serinya. Tiba-tiba kita sedar bangun setiap pagi untuk ke tempat kerja tidak lagi seronok seperti dulu.

Ia mula menjadi rutin yang membebankan dan terpaksa dilakukan semata-mata untuk menampung kehidupan. Setiap hari kita tidak sabar untuk segera pulang dan menantikan munculnya hari minggu.

Sudahnya, diri mula menyaksikan perubahan personaliti dan kemurungan setiap Isnin hingga Khamis sebelum berubah kepada seseorang yang ceria selepas makan tengah hari pada Jumaat.

Jika ini simptomnya, mungkin beberapa tip berikut dapat membantu kita jatuh cinta semula dengan kerjaya ketika ini.


Kembalikan memori indah

Ingat semula apa yang memberikan anda inspirasi dulu. Imbas semula saat kali pertama anda memulakan tugasan beberapa tahun lalu. Cara ini akan membuatkan anda berhenti seketika memikirkan masalah atau rasa benci pada tugasan hari ini.

Cuba kenal pasti beberapa aspek yang membuatkan anda gembira memulakan tugas ketika itu. Pasti ada satu atau dua aspek yang masih ada ketika ini dan cuba bina semula perasaan teruja daripada aspek itu.


Buat senarai

Senaraikan perkara yang perlu dilakukan setiap hari. Jika sukar melakukannya, cuba susun jadual seminggu lebih awal. Salah satu cara paling mudah untuk mengurang­kan tekanan minda adalah dengan menyiapkan tugasan biasa secepat dan secekap yang mungkin.

Apabila tugasan mudah atau biasa diselesaikan terlebih dulu, diri akan lebih bersedia untuk menjalankan tugasan lebih berat sekali gus menghindarkan tekanan serta rasa marah pada kerja.


Belajar perkara baru

Salah satu cara untuk kembali mencintai kerjaya kita adalah dengan mempelajari sesuatu yang baru daripada kerjaya kita itu. Apabila berada di posisi sama selama beberapa tahun, ia mula dirasakan sebagai rutin dan terpaksa dilakukan.

Namun apabila ada perkara baru yang perlu dipelajari dan dilakukan dalam posisi itu, ia membuatkan diri rasa lebih bersemangat serta teruja untuk mencubanya.
Apa saja boleh dilakukan. Mungkin meng­kaji artikel atau laporan mengenai apa yang berlaku dalam industri yang anda ceburi.

Anda juga boleh bertemu pihak atasan dan berbincang mengenai sesetengah perkara yang berkaitan dengan jawatan ketika ini.


Ubah penampilan

Ia fakta dalam hidup. Apabila kita tampil menarik, secara automatik diri akan rasa lebih yakin. Sering kali berlaku apabila kita mula rasa tidak selesa dengan kerjaya ketika ini, ia terpancar jelas pada penampilan diri.

Ambil sedikit masa untuk menyiapkan diri setiap pagi sebelum keluar ke pejabat. Ba­ngun 30 minit lebih awal daripada kebiasaan. Main permainan susun atur antara pakaian, kasut dan aksesori yang ada. Jadikan komitmen untuk tampil kemas dan menarik.

Cara ini juga dapat membantu membuatkan kita teruja untuk ke tempat kerja kerana kita akan cuba memikirkan stail yang ingin digayakan setiap hari.


Ucap tahniah pada diri

Kebanyakan individu yang tidak gemarkan tugasnya ketika ini berpunca daripada rasa tidak puas hati atau tidak dihargai. Mungkin sukar untuk menerima pujian daripada majikan jadi tidak salah untuk kita beri pujian pada diri sendiri.

Sebelum tamat waktu bekerja, senaraikan perkara atau tugasan yang berjaya dilaksanakan. Ambil masa beberapa minit untuk melihat semula senarai itu dan puji diri sendiri atas usaha produktif yang dilakukan.

Cara ini dapat memupuk rasa bangga pada diri dalam melakukan tugasan dan membuatkan diri lebih bermotivasi untuk berusaha keesokan harinya.


Laraskan sikap

Sejak bila anda menjadi seorang yang negatif? Kenapa hampir setiap tutur kata anda kepada rakan sekerja kedengaran negatif dan berbaur sindiran? Politik di pejabat dan kerenah orang sekeliling sememangnya perkara biasa di mana jua.

Tapi jika anda bijak mengabaikannya dan lebih memberi tumpuan kepada aspek positif yang ada pada individu lain, diri anda pasti lebih bahagia serta gembira di tempat kerja.

Tambahan pula meletakkan diri sebagai individu yang sering berfikiran negatif dan berprasangka buruk dengan yang lain tidak membuatkan anda lebih produktif malah membazir tenaga, melemahkan minda serta memenatkan fizikal.


Pergi bercuti

Sesekali menjauhkan diri dengan persekitaran kerja akan membuatkan kita merindui tugasan yang ditinggalkan. Apabila diri mula rasa terbeban dengan tugas, rancang percutian pendek dan tidak perlu melancong terlalu jauh.

Cara ini bukan saja membantu merehatkan minda serta memulihkan kelesuan tubuh malah menyediakan diri untuk kembali bekerja dengan lebih tenang dan gembira.





You Might Also Like

0 baby's note!

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images